Galakkan penglibatan belia dalam aktiviti amal




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / ​Foto : Alishahrin Haji Mumin





TUNGKU, Ahad, 7 Disember. - Kumpulan Belia Masjid Ashabul Haliim, Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Malik dan Belia Ashabul Akhyar, Belia Masjid Kampung Lumapas dengan kerjasama Belia Masjid Senegara serta sokongan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan program 'Belia Masjid Prihatin 3.0: Tahaddu Tahabbu & Back 2 School Special' bermula pada 17 November hingga 4 Disember 2025.


Program berkenaan merupakan inisiatif kutipan sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk peralatan sekolah bagi membantu anak-anak yatim serta keluarga yang kurang berkemampuan.


Majlis penyerahan sumbangan program tersebut mengambil tempat di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku.


Hadir dan seterusnya menyempurnakan sesi penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan sekolah berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Juga hadir, pengarah-pengarah serta pegawai dari KHEU.


Atur cara penyerahan sumbangan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta doa, diikuti dengan bacaan Tilawah Al-Quran beserta penyampaian inti sari ayat yang telah diperdengarkan.


Acara turut diisi dengan ucapan oleh Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, selaku Pengerusi Program, diikuti dengan tayangan video montaj Belia Masjid Prihatin 3.0 bertema 'Tahaddu Tahabbu & Back 2 School Special'.


Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 32 orang penerima, dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.


Antara tujuan program ini adalah bagi membantu murid-murid dari keluarga asnaf agar dapat meneruskan pembelajaran dan meningkatkan prestasi akademik melalui sokongan moral serta bantuan daripada komuniti.


Di samping itu, program bertujuan menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti amal serta memupuk semangat keprihatinan dan kasih sayang terhadap golongan memerlukan. 


Program juga dihasratkan untuk mengimarahkan masjid sebagai pusat masyarakat Islam dengan menarik lebih ramai penduduk untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan, serta membentuk komuniti Islam yang harmoni dan bertanggungjawab melalui penerapan nilai ringan tulang, peduli dan saling membantu sesama sendiri.


Program ini diharap akan dapat melahirkan masyarakat yang prihatin dan dermawan sekali gus mengajak masyarakat untuk saling memberi, selain memperbanyakkan amalan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Close